Pada kemuncak kariernya, Stallone adalah salah seorang pelakon yang
menerima bayaran tertinggi di Hollywood. Dia menerima sehingga 20 juta
dolar Amerika bagi sebuah filem. Adakah Stallone bernasib baik? Adakah
dia seorang pelakon yang mempunyai bakat semula jadi? Adakah dia berada
di tempat yang betul pada masa yang tepat? Tidak sama sekali!
Stallone berasal dari sebuah keluarga yang daif. Ibunya melahirkannya
di tangga sebuah sekolah dan kelahirannya di-bantu oleh para pelajar
sekolah itu. Pada saat kelahirannya, saraf mukanya cedera dan bahagian
kanan wajahnya menjadi lumpuh.
Dengan itu, Stallone tidak mampu bertutur dengan jelas. Sewaktu dia
kanak-kanak, ramai kanak-kanak lain mengejeknya kerana kekurangannya
ini. Tambahan pula,namanya Sylvester sama dengan nama satu karakter
kartun Looney Tunes.
Tanpa menghiraukan semua kelemahannya, Stallone
berazam hendak menjadi pelakon terkenal. Dia ingin memberikan inspirasi
kepada orang lain melalui filem.
Seperti yang anda tahu, ramai remaja mempunyai impian menjadi bintang
filem tetapi bagi kebanyakan daripada mereka, ia hanyalah angan-angan.
Namun, Stallone menjadikan impian-nya suatu kemestian.
Dia komited bagi melakukan apa sahaja demi mencapai cita-citanya.
Langkah pertamanya adalah mendaftar di sebuah sekolah lakonan.
Kemudian, dia menghadiri sesi uji bakat. Dengan pertuturannya yang
kurang jelas, wajahnya yang tidak menarik, ditambah pula dengan lakonan
yang kaku, tidak ada pihak yang mahu mengambilnya sebagai pelakon. Semua kegagalan itu tidak menyebabkan Stallone berputus asa. Dia sentiasa mengubah strateginya dan terus bertindak.
Bagaimana akhirnya Stallone berjaya mendapatkan peluang pertama
menjadi pelakon? Apabila sekali lagi dia ditolak dalam suatu uji bakat,
dia terus duduk dalam bilik pengurus dan enggan pulang selagi dia tidak
mendapat peluang berlakon. Selepas berjam-jam dia duduk di situ,
orang-orang yang berada di situ mula kasihan kepadanya. Mereka juga
kagum dengan semangatnya yang tidak mahu mengaku kalah. Akhirnya, dia
mendapat peluang melakonkan watak kecil.
Bagi Stallone, lakonan itu
begitu bermakna.
Malangnya selepas itu, dia terus gagal mendapatkan sebarang peluang
sehingga isterinya menyuruhnya melupakan sahaja impiannya itu dan mula
mencari pekerjaan lain. Tetapi, Stallone masih ingin memperjuangkan
impiannya. Dia tidak rela berputus asa.Stallone jatuh miskin sehingga
pada suatu hari dia terpaksa menjual anjing kesayangannya dengan harga
50 dolar. Dia begitu sedih kerana selama ini anjingnya itulah yang
menjadi sahabat karibnya.
Tidak lama selepas itu, Stallone menonton perlawanan tinju di antara
Muhammad Ali dengan Chuck Wepner. Ramai orang berkata Chuck pasti
menyerah kalah selepas beberapa pusingan sahaja. Tetapi, Chuck bertahan
sehingga 15 pusingan dan memberikan tentangan hebat kepada Ali.
Daripada perlawanan tinju itu, Stallone mendapat inspirasi dan dia
ingin membuat sebuah filem mengenai ahli tinju. Dia mula menulis skrip
filem tanpa henti selama 84 jam. Filem ini diberi tajuk Rocky iaitu nama
watak utamanya. Stallone berasa teruja kerana dia yakin filem ini bakal
mengubah hidupnya.
Selepas skrip itu selesai, dia berusaha menjualnya tetapi tiada siapa
yang berminat dengan skrip itu. Para penerbit filem menganggap tidak
ada sesiapa yang mahu menonton filem mengenai ahli tinju. Stallone tidak
berputus asa. Dia terus berjumpa pihak pengeluar filem sehingga
akhirnya ada sebuah syarikat yang bersetuju membeli skrip itu dengan
harga 75 ribu dolar. Stallone sepatutnya gembira tetapi impiannya belum
tercapai. Dia ingin menjadi pelakon dan bukan penulis skrip.
Dengan demikian, dia memberikan syarat kepada syarikat filem itu. Dia
bersetuju menjual skripnya kepada mereka asalkan dia menjadi pelakon
utamanya. Pada mulanya mereka tidak bersetuju dan berkata, “Anda seorang
penulis skrip, bukannya seorang pelakon! Tidak mungkin kami bersetuju
dengan syarat anda itu.”
Mereka menaikkan tawaran kepada 255 ribu dolar dan seterusnya
kepada 1 juta dolar tetapi Stallone tetap berkeras dengan pendiriannya.
Sungguhpun pada waktu itu, dia miskin dan sering kelaparan, dia masih
komited pada impiannya! Akhirnya, syarikat filem itu mengalah tetapi
kali ini mereka pula yang meletakkan syarat. Mereka hanya membayar
sebanyak 35 ribu dolar pada Stallone bagi skrip dan juga lakonannya.
Selain itu, Stallone juga bakal menerima royalti daripada keuntungan
filem itu. Stallone bersetuju.
Perkara pertama yang dilakukan selepas itu adalah mencari semula
orang yang membeli anjingnya. Stallone menawarkan 100 dolar pada orang
itu bagi membeli semula anjingnya tetapi orang itu menolak. Stallone
menaikkan harga tawaran sehingga 1,000 dolar dan orang itu tetap
menolak. Sekali lagi, Stallone tidak berputus asa. Dengan apa cara
sekali pun, dia mahukan anjingnya semula. Akhirnya, orang itu bersetuju
apabila Stallone menawarkan 15 ribu dolar dan juga peluang berlakon
dalam filemnya.
Apabila filem Rocky ditayangkan, ia mencapai tahap box-office dengan keuntungan melebihi 171 juta dolar.
Bukan hanya itu, ia juga dicalonkan dalam 10 kategori Anugerah Akademi
termasuklah pelakon terbaik. Daripada 10 pencalonan itu, Rocky memenangi
anugerah filem terbaik dan arahan terbaik.
Stallone terus mencipta nama sebagai pelakon aksi yang hebat dan dia
menerima banyak tawaran yang lumayan. Antara filem Stallone yang
menyusul selepas itu adalah First Blood, Rambo dan Rocky II.Stallone
mencapai impiannya kerana ia menjadikannya suatu kemestian. Dengan ini,
dia tidak berputus asa mencari jalan bagi mencapainya.